Guru tugas mulia




Betul ke dakwaan cikgu zaman sekarang tak berkualiti? benarkah cikgu zaman sekarang tak ikhlas seperti guru zaman dulu yang mampu melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik, tetapi sahsiah.
Bila melayari internet di masa lapang, saya suka baca artikel dan pandangan orang ramai di forum dan blog. Bila terbaca isu berkaitan sistem pendidkan dan perkhidmatan perguruan di Malaysia, saya sedikit kecewa kerana ramai pihak yang memberikan pandangan negatif tentang guru pada masa kini. Masyarakat sekarang sering menyatakan bahawa guru yang mengajar anak mereka tidak berkualiti jika dibandingkan dengan guru yang mengajar mereka dulu.

Saya bersifat terbuka dalam mendalami dakwaan ini. Memang tidak dinafikan terdapat segelintir guru yang boleh dipersoalkan kualitinya dan melanggar etika perguruan. Namun hal ini memang barah dalam semua profesion. Ada doktor yang jual ubat batuk n jual bayi, ada polis yang makan rasuah, ada engineer yang luluskan bangunan retak, ada akauntant yang gelapkan duit syarikat, ada peguam yang pecah amanah dan bakar client, ada menteri yang sain projek untuk kroni.. Kita tak boleh menilai keseluruhan profesion hanya kerana segelintir hamba Allah yang tersasar dari landasan.

Ada juga pihak mengatakan guru sekarang asyik mintak naik gaji jer. Menurut mereka tugas guru sepatutnya tidak mendapat bayaran kerana mengajar merupakan amanah kewajipan. Habis tu kenapa doktor minta bayaran untuk menyelamatkan nyawa. Logik ker kalau kita pandai berenang, lepas tu ada orang lemas kat lombong dan minta tolong, lepas tu kita cakap, saya boleh selamatkan awak tapi awak kena bayar RM 1000 dulu.  Macam tu la yang berlaku di hospital swasta sekarang.

Memang terdapat perubahan  pada kualiti guru tetapi ke arah yang lebih positif. Pandangan ini berdasarkan perbandingan yang konkrit. Majoriti guru zaman dulu hanya ada sijil dan diploma tetapi zaman sekarang guru harus mempunyai ijazah dan ramai guru yang sudah ada master dan PhD. Guru zaman sekarang terutamanya yang muda menguasai pelbagai kemahiran terutamanya multimedia yang boleh digunakan untuk meningkatkan keberkesanan mengajar berbanding guru zaman dulu yang menggunakan kaedah chalk and talk. Dari aspek keikhlasan saya tak yakin nak ulas sebab belum ada kajian yang mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi tentang tahap keikhlasan dan belum ada alat yang bernama “ikhlasometer” dicipta. 

Ada pihak yang memandang kualiti dan keikhlasan melalui produk. Mereka mendakwa pelajar zaman sekarang teruk dan tidak bermoral. Baru umur 12 tahun dah pandai merompak, membunuh dan jadi samseng.  Ini semua guru la yang tak pandai ajar... kata Ahmad kepada Abu (bukan nama sebenar).

Memang ada kebarangkalian faktor sekolah menyumbang peningkatan kadar jenayah di kalangan pelajar. Tetapi faktor itu wujud dari perubahan sistem pendidikan dan perubahan perspektif masyarakat itu sendiri.
Jika guru zaman dulu memukul pelajar kerana mencuri pensel, lepas tu pelajar report kat ayah, ayah pelajar tersebut akan merotan anaknya dan berterima kasih kepada guru kerana menghalang anaknya menjadi pencuri. Jika guru zaman sekarang merotan pelajarnya kerana memecah masuk koperasi dan merokok, ibu bapa akan menyerang cikgu dan cakap “CIKGU JANGAN BERANI NAK SENTUH ANAK SAYA WALAU SEHELAI BULU PUN...SAYA PUN TAK PERNAH ROTAN ANAK SAYA TAU!!!”.  Ada satu kes yang berlaku di sebuah sekolah asrama, bapa seorang pelajar menengking seorang guru kerana anaknya mengadu guru mengejutkannya untuk solat subuh. Bapa pelajar tu cakap “cikgu, saya hantar anak saya ke sekolah bukan untuk solat subuh, tapi untuk belajar” (kisah benar).
Perspektif masyarakat juga sudah berubah tentang martabat guru. Dulu guru disanjung dan dihormati. Artis pula dihina. Zaman dulu kalau anak jadi artis malu kat orang kampung, tapi kalau dapat menantu guru memang sangat bangga...Tapi zaman sekarang dah terbalik, guru dihina dan artis dipuja, siap dapat gelaran Dato’. Kalau anak jadi artis siap buat kenduri...
Kesimpulannya, guru jangan merasa rendah diri dan terhina bila ada pihak yang sering menyerang dan menyalahkan guru sebab trend masyarakat kini  memang bersifat hiburan dan duniawi. Teruskan fokus untuk mendidik dan memanusiakan pelajar.  Kalau rasa hilang semangat dan tak dihargai, hayati sajak ini yang bertajuk Guru oh guru nukilan tokoh terbilang, Usman Awang

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

2 comments:

  1. betul....guru sekarang dipandang serong... tetapi yakinlah masih ramai guru yang ikhlas diluar sana... hanya segenlintir sahaja yang tidak berkualiti....ini mungkin disebabkan oleh guru tersebut bukan bercita2 untuk menjadi guru tetapi memilih profesion itu atas dasar keterpaksaan...maka tanggungjawab yang dipikul tidak dijalankan sepenuh hati...bagai melepaskan batuk ditangga....wallahualam..

    ReplyDelete
  2. Guru harus membina mind set yang betul supaya rasa bersyukur menjadi guru dan semangat mengajar. Sebagai contoh guru perlu bersyukur kerana profesion perguruan terlindung dari mudah terlibat dengan rasuah. Mungkin ada pihak berkata sektor pendidikan juga terlibat dengan rasuah. Tetapi yang terlibat mungkin pegawai pendidikan yang menguruskan logistik, projek dan kursus. Bukannya guru. Yang kedua, guru harus mengakui bahawa profesion perguruan adalah tugas profesional jika dibandingkan dengan jawatan kerajaan lain seperti PTD (pegawai tadbir diplomatik). Perjawatan profesional ialah jawatan ikhtisas yang memerlukan seseorang memiliki kelayakan kursus tertentu. Senarai pegawai tugas ikhtisas ialah guru, doktor, jurutera dan akauntant.

    ReplyDelete